Monday, April 16, 2007

EKSPEDISI KE PUNCAK GUNUNG STONG

Dabong,22 Februari 2007 – Skuad Ibu Pejabat(SIPBBNK) telah menganjurkan ekspedisi pendakian ke Gunung Stong. Ekspedisi ini terdiri dalam kalangan ahli Skuad Ibu Pejabat iaitu seramai 13 orang lelaki dan 5 orang perempuan. Kami bertolak dari stesen kereta api Wakaf Bharu jam 4.00 pagi dan sampai di stesen kereta api Dabong jam 7.00 pagi.


Selepas sarapan pagi di warong yang berhampiran, rombongan kami memulakan ekspedisi ke puncak pada jam 12.00 tengahari dan sampai di kem Baha pada pukul 2.30 petang. Rombongan kami bermalam di situ bagi menyambung perjalanan keesokan harinya. Kem Baha merupakan kawasan perkhemahan di mana di situ terletaknya air terjun tertinggi di Asia. Keindahan air terjun tersebut begitu menakjubkan di mana tidak terbanding dengan mana-mana air terjun lain. Ia menjadi bekalan minuman kami sepanjang berada di sana.

Pada keesokan harinya, kami meneruskan ekspedisi menuju ke puncak pada pukul 9.30 pagi. Tapi sebelum itu kami menyiapkan bekalan makanan untuk makan tengah hari apabila sampai di puncak. Ekspedisi kami diiringi seorang guide yang berpengalaman. Perjalanan tersebut mengambil masa selama empat jam lebih. Pelbagai cabaran yang kami tempuhi sepanjang perjalanan.



Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Gua Bogo untuk mengisi bekalan minuman dan mengambil gambar. Kemudian, kami meneruskan kembali perjalanan hinggalah menemui mata air terakhir. Sampailah ke Batu Besar Sang Kelembar yang mana merupakan persinggahan terakhir untuk sampai ke puncak.

Kami tiba di puncak pada pukul 2.00 petang dan kami bergambar selepas makan tengah hari. Kami bertolak turun dan sampai di Kem Baha dan kami bermalam sekali lagi di situ. Pada keesokan harinya, kami bertolak turun ke kaki gunung pada pukul 10.00 pagi dan sampai di kaki gunung pada pukul 12.30 tengah hari.

Selepas makan tengah hari, kami bertolak pulang dari stesen Dabong pada pukul 2.00 petang dan sampai di stesen Wakaf Bharu pada pukul 5.30 petang.

No comments: