| ||
Kempen anti keganasan global yang didalangi oleh Washington (Amerika Syarikat) sejak tahun 2001, telah meninggalkan kesan psikologi yang kurang nyaman di kalangan masyarakat dunia. Terutamanya di kalangan masyarakat bukan Islam, terbentuk pelbagai persepsi dalam pemikiran mereka apabila agama Islam dibincangkan. Tragedi 911 merupakan kemuncak daripada sekian banyak isu yang dikaitkan dengan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ini. Paling menyedihkan, ada pihak yang cuba menulis dan mengulas tentang Islam tanpa dilandasi oleh kefahaman yang sebenar. akibatnya, secara tidak sengaja, telah memburuk- burukkan lagi nama Islam. Bagi pakar motivasi terkenal tempatan, Billi P. S. Lim, beliau kurang senang dengan pelbagai bentuk pelabelan negatif yang digunakan oleh media-media utama antarabangsa terhadap Islam. Menurut beliau, pemberitaan tersebut turut menimbulkan persepsi negatif orang bukan Islam terhadap Muslim di Malaysia. “Sebagai seorang bukan Islam, ada ketikanya terkesan dengan kempen negatif yang cuba dicetuskan terhadap Islam. Setahu saya istilah Islam itu sendiri bermaksud keamanan dan kedamaian. Seiring dengan ajarannya yang menganjurkan kebaikan, sepatutnya orang bukan Islam tidak perlu takut dengan Islam. “Sebaliknya apa yang berlaku sekarang, istilah “Islam” atau “Muslim” dikaitkan dengan keganasan dan kekejaman penganutnya yang dikatakan suka berperang atas nama agama atau jihad. Malang sekali “kedamaian” yang dibawa oleh Islam telah ditutupi oleh kempen tersebut,” jelasnya yang kesal dengan sikap sebahagian pengamal media antarabangsa yang sering memainkan isu “islamic terrorist” secara sewenangwenang. Billi yang merupakan penulis bagi buku terlaris, “Berani Gagal” atau “Dare To Fail” menyatakan, kempen media seumpama ini lebih merupakan satu bentuk peneguhan (conditioning) secara psikologi. Lebih berbahaya apabila proses ini jelasnya berlaku secara tanpa sedar iaitu dengan memanipulasikan pemikiran bawah sedar (subconscious mind) orang atau kelompok manusia yang disasarkan. Akibat Gambaran Salah Pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan dari Universiti Malaya ini juga menyatakan Islam ada kalanya disalah ertikan disebabkan perilaku Muslim sendiri yang tidak mencerminkan akhlak sebenar sebagai seorang Islam. Misalnya masalah-masalah seperti penagihan dadah, bohsia, pembuangan bayi, mat rempit, penyelewengan, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi yang melibatkan ramai orang Islam. “Pada fikiran saya masalah - masalah ini berlaku mungkin disebabkan fahaman agama yang kurang. Ini kerana menurut ajaran Islam, pada pemahaman saya, mengajarkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari perkara buruk. Namun saya tidak nafi kan penganut agama lain juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan,” ujarnya yang mengibaratkan, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ini kerana orang Melayu yang merupakan penganut Islam, secara umum menerima tempias dari prasangka itu. |
No comments:
Post a Comment