Thursday, March 22, 2007

BBNK rakam tahniah kepada pelajar terbaik SPM

Pertubuhan Briged Bakti Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kelantan, Siti Fatimah Mukhtar yang memperolehi 18 A dalam keputusan peperiksaan yang diumumkan semalam.

Kejayaan Siti Fatimah yang turut dikongsi bersama oleh kedua ibubapanya yang sentiasa memberi dorongan semangat ,disiplin , kasih sayang serta penekanan tarbiyah supaya anak mereka bukan sahaja cemerlang dari segi akademik bahkan cemerlang dari segi sahsiah serta mematuhi segala amalan yang dituntut oleh Islam.

Bapanya, Mukhtar Ismail merupakan pegawai Bank Islam, pernah bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan sejak awal 80-an dan jawatan terakhir beliau dalam ABIM Kelantan adalah sebagai Setiausaha Kewangan ABIM Kelantan. Manakala ibunya Pn Aishah Mohamad adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tapang juga turut bergiat aktif dalam ABIM selaku Exco Helwa ABIM Kelantan.

Menurut Fatimah yang merupakan anak ke 7 daripada 8 0rang adik-beradik, menyatakan bahawa beliau berasa bersyukur dengan kejayaan ini kerana dapat membanggakan ibubapa, guru-guru dan juga sekolah sendiri.Menurut beliau apabila ditanya tentang apakah perasaan beliau apabila beliau berada di tempat pertama pelajar terbaik SPM seluruh Malaysia, beliau menjelaskan jika benar seperti yang dinyatakan, beliau berasa bersyukur atas kejayaan ini dan menganggap kejayaan ini bukan untuk menaikkan nama beliau , tetapi untuk menaikkan nama guru dan sekolah di persada kecemerlangan.

Fatimah yang telah menghafaz 13 juzuk al-Quran, pandai membahagikan masa antara waktu belajar, mengulangkaji dan menghafaz Al-Quran serta tidak melupakan waktu untuk solat Hajat dan selalu berdoa agar segala hajatnya dimakbulkan kerana sebagai seorang muslim beliau percaya hubungan manusia dengan Allah Swt tidak boleh dipisahkan.


Selain daripada menumpukan kepada akademik, Fatimah juga turut aktif dalam kokurikulum dan tanggungjawab beliau di sekolah. Beliau merupakan Ketua Pelajar di Maahad Muhammadi Perempuan dan turut aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan Badminton peringkat negeri,debat bahasa Arab peringkat zon (Naib Johan) serta kuiz Sains dan Matematik diperingkat zon.

Menurut beliau lagi, selain mengharapkan doa dimakbulkan dari Allah, usaha yang berterusan perlu ada kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.

siti Fatimah berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan kini sedang membuat persediaan awal dengan memasuki kelas latihan bahasa Inggeris di Pusat Smart Reader di Kota Bharu.

No comments: